PENGURUSAN HARTA PUSAKA
Pengenalan Harta Pusaka
Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan dengan faraid sebagaimana yang diputuskan di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).
Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan.
Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Nisa: 11)
"Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah."
(Surah Al-Nisa': 12)
"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(Surah Al-Nisa': 176)
Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu".
Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."
Daripada Ibnu Mas'ud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) "Maka telah menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan."
(Hadis riwayat Imam Bukhari)
Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa'ie)
Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.
Kedudukan Baitulmal dalam Pengurusan Harta Pusaka 
Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7 bermaksud: "Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dzawil arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dzawil arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil."
Di dalam kitab Al-Mawarith fi Al-Syariah Al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa Al-Sunnah, karangan Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Sobuni, cetakan kelima, percetakan Al-Sobuni, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi'e bahawa dzawil arham atau para kerabat tidak berhak mendapat waris. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashabul furudh atau 'asabah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dzawil arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.
Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi'e ialah:
1.Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syar'ie dan qat'ie dari Al-Qur'an atau Al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dzawil arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dzawil arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.
Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun."
Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.
3.Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashabul furudh ataupun para 'asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.
Berdasarkan undang-undang negara, ia juga telah diperuntukkan di bawah Seksyen 13(1), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu antara lain menyebut, "Dengan syarat jika ada undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubungan dengan Baitulmal, Pentadbir Tanah hendaklah sebelum membahagikan apa-apa bahagian harta pusaka si mati beragama Islam, memuaskan dirinya bahawa apa-apa bahagian harta pusaka yang kena dibayar kepada Baitulmal telah dibayar sewajarnya atau peruntukan sesuai telah dibuat bagi pembayarannya."
Manakala secara praktisnya di Selangor, ia telah diperuntukkan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, "Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah."

Comments