RIBA DI SEBALIK KOS MENGURUS ‘QARDHUL HASSAN’

Posted by Thinkerich on December 18th, 2010
Salam pembaca sekalian,
Mulai ‘post’ kali ini, saya akan bincangkan topik baru berkaitan kewangan Islam. Semoga kita semua dapat manfaat hasil daripada perkongsian ini nanti dan saya juga berharap pembaca yang lebih arif dapat sama-sama berkongsi pengetahuan mereka kepada pembaca blog ini.
Akhir-akhir ini kita dapat lihat Bank-bank dan Syarikat Kewangan berlumba-lumba memperkenalkan produk kewangan Islam masing-masing. Konsep Perbankan Syariah digunakan dalam produk kewangan yang mereka tawarkan untuk memberi pilihan kepada pengguna muslim.
Namun begitu yang timbul persoalannya adakah produk tersebut benar-benar mematuhi syariah atau sekadar ‘tempelan’ menggunakan nama produk syariah sedangkan operasinya masih sama?
Sebagai contoh jika mereka menawarkan pinjaman berasaskan konsep ‘Qardhul Hassan’ (bentuk pinjaman atas dasar sukarela dan bantu membantu tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas pinjaman) pada kebiasaannya mereka tidak menggenakan faedah sebaliknya mengenakan syarat caj kos perkhidmatan dalam pinjaman.
Umum semua tahu, baik bank, syarikat kewangan mahupun koperasi ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan hasil operasi mereka namun implementasi atau pelaksanaan atas nama konsep syariah agak mengelirukan pengguna muslim yang kurang arif tentangnya.
Konsep ‘Qardhul Hassan’ ini kerap kali tersasar daripada konsep asal pinjaman yang bersifat KEBAJIKAN menjadi dwitujuan iaitu dengan tujuan membantu dan dalam masa yang sama meraih keuntungan yang berselindung di sebalik ‘Kos Mengurus’ supaya ianya menjadi HALAL.
Hasil keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia yang ketiga pada tahun 1986 berpendapat boleh mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah KOS SEBENAR pengurusan teknikal sahaja dan adalah HARAM mengenakan kos selebihnya daripada kos sebenar.
Cuba lihat bagaimana kos yang dikenakan ke atas pinjaman yang dibuat menggunakan konsep ‘Qardhul Hassan’ ini, adakah mengenakan jumlah dalam bentuk peratusan 2%,3%,4%? atau sebaliknya mengenakan jumlah nilai RM yang tetap bagi setiap jumlah pinjaman yang diberikan?
Contohnya kos mengurus sebenar bagi setiap pinjaman adalah RM300, maka tanpa mengira jumlah pinjaman yang diberikan sama ada RM1,000, RM5,000, RM20,000 dan sebagainya maka caj mengurus yang sepatutnya dikenakan adalah RM300 sahaja.
Saya kira proses yang sama digunakan untuk keluarkan pinjaman tak kira sama ada nilainya besar atau kecil kosnya masih sama. Penggunaan komputer, tenaga kerja, cukai setem, peguam mungkin pada kadar yang hampir sama. Jika ada lebihan sekalipun, caj yang dikenakan sepatutnya pada kadar sebenar kos perkhidmatan tersebut bukannya dengan menokok tambah caj lain.
Yang menjadi masalah dan isu bilamana mereka menggunakan konsep ini dengan mengenakan caj berdasarkan peratusan % ke atas jumlah pinjaman. Ini bermakna semakin besar pinjaman maka semakin banyak caj perkhidmatan yang dikenakan.
Bila ini berlaku kos mengurus tadi sudah pasti akan berubah mengikut pinjaman dan ianya secara tak langsung menjadi kos FAEDAH dan RIBA yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan.
Apa yang saya cuba sampaikan dan kongsikan di sini, adalah bahawa keharusan yang dibenarkan oleh majlis fatwa ulama sedunia dan konsep ‘Qardhul Hassan’ tidak disalahgunakan atau disalahfahami oleh kita dan pihak pemberi pinjaman.
Semoga perkongsian ini dapat membantu pembaca serba sedikit tentang asas prouk kewangan Islam. Wallahualam.
THINKERICH

Comments

  1. Saya sedang mendalami tentang ilmu fiqh muamalah, memang seperti sodara katakan tadi, saya pun berpendapat kos pengurusan ini sebenarnya adalah riba jika ia mengikut peratusan jumlah wang yang dipinjam

    ReplyDelete

Post a Comment