Tuesday, September 28, 2010

Kenapa Riba Itu Dilarang Dalam Islam?


Islam melihat pinjaman dengan mengenakan faedah kepada peminjam sebagai hubungan yang berat sebelah yang memihak kepada pihak yang memberi pinjaman sahaja. 
Oleh sebab itu Islam memandang wang  sebagai alat pengukur bagi nilai sahaja dan bukan sebagai asset yang boleh diperdagangkan, tiada sesiapa dibenarkan untuk meraih pendapatan daripada wang yang dipinjamkan. Dalam Islam hanya ada pinjaman yang dinamakan Qardhul Hassan atau benevolent loan. Pinjaman tanpa mengenakan caj atau mudahnya pinjam RM100 bayar balik RM100.

Islam menggalakkan aktiviti ekonomi bagi menambah kekayaan melalui jalan perniagaan dan bukannya melalui cara memberi pinjam wang. Jumlah faedah atau bunga yang dikenakan adalah tetap haram tidak kira sama ada sedikit ataupun banyak. Oleh sebab itu Islam menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Walaupun kadang-kadang nampak sama sahaja. 

Sebagai contoh seorang meminjamkan wang sebanyak RM 100 dan mengenakan bunga sebanyak RM50. Manakala situasi lain seorang membeli sebuah kipas angin berharga RM100 dan menjualnya kepada seseorang pada harga RM150. Pembeli dengan penuh kerelaan bersetuju membeli kipas tersebut pada harga RM150.

Jika dilihat sekali imbas untungnya adalah sama RM50 sama ada memberi pinjam wang RM100 dan juga menjual kipas pada harga RM150 iaitu RM50 melebihi harga yang dibelinya. Tetapi yang membezakannya satu mengenakan riba dan satu lagi secara jual beli. Transaksi yang pertama hanyalah menguntungkan pihak peminjam manakala yang kedua memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak kerana satu pihak dapat untung manakan satu pihak lagi dapat kipas angin. Senario yang kedua ini menyuburkan aktiviti ekonomi manakala yang pertama tiada aktiviti ekonomi.

Selain daripada halangan agama, riba dianggap tidak adil dan mempunyai unsur eksploitasi. Sebagai contohnya :
Mengambil bunga daripada peminjam tanpa apa-apa sebagai balasan akan menjadikan peminjam bertambah mundur ianya juga tidak melahirkan sikap kerjasama diantara peminjam dan pemberi pinjam.
Bayangkan jika anda mempunyai wang yang banyak tinggal didalam sebuah kampung. Orang miskin yang hendak menjalankan perniagaan akan meminjam wang daripada anda. Setiap RM1,000 anda akan mengenakan RM100 sebagai faedah, jika terlewat bayar maka RM100 itu akan meningkat menjadi RM200 dan begitulah seterusnya.  Berapa keuntungan yang diperolehi oleh peminjam yang akan digunakan untuk membayar faedah kepada anda. Keuntungan yang tak seberapa akan digunakan untuk membayar faedah dan wang pokok. Maka peminjam akan hidup cukup-cukup makan sahaja atau kalau perniagaan ttidak maju akan terus gulung tikar, manakala pemberi pinjam akan bertambah kaya tanpa membuat apa-apa goyang kaki sahaja.

Pemberi pinjam mendapat wang tanpa melakukan kerja atau tidak menanggung apa-apa risiko perniagaan. Tidak wujud perkongsian dalam perniagaan yang dinamakan Musyarakah (perkongsian). Ianya melebarkan jurang antara si kaya dengan si miskin. Bayangkan jika dalam Negara ada satu puak amat kaya dan satu puak yang miskin dan mundur, adakah Negara tersebut akan aman? Sudah tentu  tidak. Akan berlaku pergaduhan, penindasan, pemberontakan disebabkan tekanan hidup kerana Riba memusnahkan semangat kerjasama antara manusia.


3 comments:

  1. encik saya amik ye encik nye artikel neyh..utk jawab final exm sok..mekaseh

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Sekiranya ada yang hendak meminjam sedangkan asal duit tu saya nak masukkan dalam ASB. Tapi untuk elakkan kawan meminjam along adakah boleh kita ambik sikit keuuntungan atas persetujuan pihak peminjam sebab saya hanya ada simpanan itu saja untuk hari tua. T/kasih

    ReplyDelete
  3. Cikgu Aini..maaf saya tak buka blog agak lama. Tak boleh ambil untung melalui pinjaman wang. Kalau cikgu bagi pinjam kat dia untuk dia berniaga keuntungan dibahagi sama2 its ok. Kalau kita kenakan syarat tak boleh. Kalau dia bagi lebih (dari jumlah pinjaman) atas kerelaannya tak mengapa

    ReplyDelete