Harta Pusaka

Monday, 15 March 2010 16:54:32
From: XXXXXXXXXXX
To : Ahmad Tarmizi Jusoh

Assalamualaikum,

Saya mohon penjelasan mengenai rumah peninggalan ayah saya.

Ayah saya telah meninggal dunia dan meninggalkan sebuah rumah. Rumah tersebut adalah atas nama ayah dan kakak saya. Setelah ayah meninggal, kami adik-beradik sepakat untuk menjual rumah tersebut kepada salah seorang anak yang berminat untuk membeli dan jumlah dibahagi sama rata antara adik-beradik. Hasil perbincangan, saya yang akan membeli rumah tersebut. Sekarang ini rumah tersebut masih dalam urusan pertukaran nama ayah saya dan sedang menunggu tarikh perbicaraan.

Baru-baru ini timbul kenyataan dari jiran ayah saya bahawa semasa hidupnya dia pernah bertanya pada ayah saya rumah tersebut akan diberi kepada siapa dan ayah saya mengatakan akan memberinya kepada abang yang sulung. Adakah kenyataan ayah saya itu dikira sebagai wasiat dan wajib dikuti? Bagaimanakah kedudukan saya yang berhajat untuk membeli rumah tersebut?

Kini saya dalam keadaan serba salah apabila ada pihak ketiga yang asyik memperkatakan mengenai kenyataan ayah saya itu.

Sekian, wassalam.
 
Jawapan :
 
Walaikum Salam Saudari yang bertanya,

Terima kasih kerana bertanya.

Apabila berlaku kematian kepada seseorang perkara yang perlu kita selesaikan adalah seperti berikut :

1. Pengurusan Jenazah
2. Membayar segala hutang si mati. Hutang sesama manusia dan juga hutang kepada Allah seperti nazar, haji, fidyah dsbnya.
3. Menyelesaikan pesanan-pesanan si mati dalam bentuk wasiat atau apa-apa pesanan yang tidak bercanggah dengan syara'.
4. Membahagikan harta mengikut faraid.

Dalam fakta yang diberikan anda tidak ada menyebut tentang bapa ada menyediakan dokumen wasiat atau apa-apa dokumen bertulis (semasa hidup) agar harta yang ditinggalkan diberikan kepada seseorang. Anda hanya ada mendengar dari jiran bahawa bapa akan memberikan kepada abang anda.

Ayat "akan memberikan" membawa maksud sesuatu yang akan dibuat tetapi belum dibuat. Ianya tidak mempunyai implikasi undang-undang lagi kerana belum dibuat (wasiat) atau belum diberikan kepada abang anda lagi. Dalam keadaan ini bukti kata-kata tadi amat diperlukan untuk menentukan kesahihan pernyataan jiran anda tadi. Kita tidak tahu konteks apa si mati menyatakan demikian.

Jika mengambil pendekatan secara Islam, Rasulullah SAW sendiri amat melarang pemberian sesuatu harta itu dibuat secara tidak adil dengan melebihkan anak-anak tertentu dan meminggirkan anak-anak tertentu (ada hadis nabi tentang ini) melainkan ada sebab-sebab yang wajar seperti anak tersebut kurang upaya dan perlu diberi perhatian lebih.Islam melihat dari sudut keadilan.

Dalam Islam juga Rasululah dalam hadisnya melarang wasiat dibuat kepada ahli waris yang sememangnya layak untuk mendapat bahagian wasiat. "Tidak ada wasiat kepada waris" (Hadis Nabi). Di sini jelas bahawa jika bapa anda berwasiat untuk diberikan kepada abang ianya tidak sah mengikut hukum syara dan juga enakmen syariah yang diamalkan di Malaysia.

Sekiranya hendak diberikan kepada mana-mana ahli waris maka ianya mestilah dipersetujui oleh ahli waris yang lain selepas kematian bapa. Kalau ada waris yang tidak setuju ianya sudah cukup untuk membatalkan wasiat tersebut (jika ada).Dalam kes anda usah ambil pusing kata-kata yang menyatakan bahawa harta tersebut akan diberikan kepada abang anda.

Tindakan anda berpakat untuk membeli harta tersebut daripada waris-waris lain amatlah dipuji untuk mengelakkan pertikaian dikemudian hari dan juga mengelakkan andaian bahawa anda mengambil 'advantage' ke atas harta tersebut kerana anda membayar harganya dan bukannya dapat free. Anda boleh tunjukkan kepada sesiapa yang pertikai (jika ada) dengan mengemukakan bukti pembelian kepada mereka.

Sekian harap dapat menjawab persoalan saudari.

Ahmad Tarmizi Jusoh

Comments