10 wanita pewaris kekayaan keluarga

Oleh Siti Nur Almizan Aripinsnur@bharian.com.my

Mereka bukan selebriti yang sentiasa dikejar paparazi, sebaliknya hanya gadis biasa, anak lelaki terkaya dunia INDAHNYA dunia jika hidup bermandikan limpahan wang ringgit yang bukan sedikit jumlahnya tapi boleh menampung kehidupan sehingga tujuh keturunan diwarisi daripada empayar milik keluarga. Itulah realiti bakal dinikmati 10 wanita yang disenarai pendek Forbes sebagai 10 Wanita Bakal Pewaris Kekayaan Keluarga.

Berada di kedudukan tertinggi adalah gadis India, Vanisha Mittal Bhatia, anak perempuan lelaki keempat terkaya di dunia, Lakshmi Mittal. Pada 2004 ayahnya membelanjakan AS$60 juta hanya untuk majlis perkahwinannya yang berlangsung selama tujuh hari tujuh malam di Paris. Majlis yang penuh gemilang dihadiri 1,000 tetamu yang turut dihiburkan penyanyi terkenal, Kylie Minouge. Vanisha, graduan Kolej Ekonomi Eropah itu kini memiliki aset bernilai AS$45 bilion. Vanisha dilaporkan bakal mewarisi aset bernilai AS$103 bilion dari ArcelorMittal, syarikat besi milik bapanya. Dia bakal berkongsi kekayaan bersama seorang adik lelakinya. Tempat kedua diduduki pewaris empayar Reliance Industries iaitu Isha Ambani. Walaupun anak perempuan tunggal lelaki kelima terkaya di dunia dari India, Mukesh Ambani masih remaja tapi dia memiliki saham di firma petrokimia milik bapanya, Reliance Industries bernilai AS$80 bilion.
Berada di kedudukan ketiga adalah graduan Universiti Pennsylvania, Pia Singh anak kepada K P Singh. Dia pernah menghadiri kursus penulisan filem selama enam minggu di Universiti New York sebelum bekerja di GE Capital. Kini, Pia menguruskan DLF Group milik bapanya yang mana dia sendiri bertindak mengetuai syarikat berkaitan hiburan, DT Cinemas serta perniagaan barangan mewahnya sendiri. Pia kini memiliki kekayaan bernilai AS$400 juta. Berada di kedudukan keempat ialah pewaris yang turut memainkan peranan di dalam membina empayar keluarga. Delphine Arnault-Gancia, anak kepada Bernard Arnault, taikun empayar barangan mewah terkemuka Moet Hennessy Loius Vuitton (LVMH) yang juga lelaki ke-13 terkaya di dunia. Wanita Perancis itu adalah lulusan Sekolah Ekonomi London dan pernah bekerja bersama kumpulan perunding pengurusan firma McKinsey sebelum menyertai syarikat milik bapanya pada 2000.

Pada musim luruh 2005, Delphine berkahwin dengan pewaris empayar wain dari Itali dan majlis itu menjadi satu majlis mewah sehingga digelar ‘France’s social event of the year’. Di tempat kelima, Marta Ortega Perez, anak perempuan pemborong Sepanyol, Amancio Ortega yang akan mewarisi aset bernilai AS$27.5 bilion dari Inditex, pengedar pakaian yang juga pemilik rangkaian butik Zara. Gadis pemalu berusia 26 tahun ini juga dikatakan terlalu sukakan kuda sehingga bapanya sanggup membina sebuah pusat ekuestrian khusus untuk anak perempuannya itu. Di tangga keenam adalah anak gadis Vladimir Potanin, pemilik empayar penerbitan, perbankan dan pemilikan tersohor Russia. Anastasia Potanina yang baru berusia 24 tahun adalah bekas juara dunia di dalam sukan ekstrem, aquabiking atau perlumbaan jet ski. Gadis lasak yang bakal mewarisi aset bernilai AS$19.3 bilion menjadi kebanggaan bapanya kerana kejayaan di dalam sukan dan kini dia telah bersara untuk menguruskan pengurusan sukan bersama bapanya. Anak perempuan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menduduki tempat ke-7 dan ke-8 senarai 10 Gadis Bakal Pewaris Kekayaan Keluarga. Georgina dan Emma masing-masing berusia 25 tahun dan 29 tahun sememangnya handal seperti bapanya. Georgina, atlit lompat berkuda sejak berusia tiga tahun mula menyinar sebagai ekuestrian malah menduduki tangga teratas sebagai atlit lompat berkuda negara. Kecederaan dialami menyebabkan dia terkeluar dari senarai peserta Sukan Olimpik, baru-baru ini tapi dia kini mula berlatih untuk ke Sukan Olimpik 2012. Emma pula adalah graduan perniagaan dari Universiti Harvard. Turut bergiat aktif di dalam arena politik dengan menyertai kempen bersama bapanya. Di tempat kedua terakhir adalah Marina Berlusconi anak kepada Silvio Berlusconi, Perdana Menteri Itali yang pernah memegang jawatan ketua negara itu sebanyak tiga kali. Marina kini adalah pengerusi syarikat milik bapanya, Fininvest Group dan Mondadori Group, penerbit buku dan majalah terbesar di Itali. Gadis beruntung itu juga turut mengetuai empat anak syarikat milik Fininvest. Berada di kedudukan terakhir adalah Samantha Kluge anak kepada mogul media kelahiran German-Amerika, John Kluge. Walaupun pernah dilabel liar kerana mencacah banyak tatu di seluruh badan juga kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali, wanita itu turut dipuji kerana mewarisi gen bapanya sebagai usahawan yang kebal hatinya. Info
Kedudukan pertama: Vanisha Mittal Bhatia - bakal mewarisi aset bernilai AS$103 bilion dari empayar besi milik bapa, ArcelorMittal.

Kedudukan kedua: Isha Ambanie - pewaris empayar Reliance Industries, dengan aset bernilai AS$80 bilion.

Kedudukan ketiga: Pia Singh - anak kepada K P Singh dan kini mempunyai aset bernilai AS$400 juta.

Kedudukan keempat: Delphine Arnault-Gancia - anak kepada lelaki ke-13 terkaya di dunia bakal mewarisi aset bernilai AS$50 bilion.

Kedudukan kelima: Marta Ortega Perez - bakal mewarisi aset bernilai AS$27.5 bilion.

Kedudukan keenam: Anastasia Potanina - anak gadis Vladimir Potanin, pemilik empayar penerbitan, perbankan dan pemilikan tersohor Russia bakal memiliki aset bernilai AS$19.3 bilion.

Kedudukan ketujuh dan kelapan: Georgina dan Emma, anak gadis Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg pewaris aset bernilai AS$11.5 bilion.

Kedudukan kesembilan: Marina Berlusconi anak bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mewarisi empat anak syarikat Fininvest Group dengan aset bernilai AS$9.4 bilion selain aset dari Mondadori Group.

Kedudukan kesepuluh: Samantha Kluge anak kepada mogul media kelahiran German-Amerika, John Kluge bakal memiliki aset bernilai AS$9.5 bilion.

Comments