HALANGAN-HALANGAN UNTUK MERANCANG HARTA



Tuan-tuan dan puan-puan, kita memang semua maklum bahawa terjadinya kelewatan, ketidakambil peduli terhadap harta pusaka banyak sebab-sebabnya, manusia normal manakah tidak hendakkan harta yang jatuh ke riba tanpa titik peluh dan penat jerih usaha, malahan sekelip mata akibat sesuatu musibah yang menimpa seseorang anda menjadi kaya. Walaupun kita kematian orang yang kita sayang tetapi tidak ada orang yang kata “aku tak nak harta suami atau isteri kerana aku hanya cintakan kepadanya dan bukan hartanya”. Tidak pernah lagi saya berjumpa manusia normal sebegini tetapi kadangkala ada masalah yang menyebabkan sesuatu harta itu tidak diselesaikan atau tidak diambil pedulikan. Mari kita lihat apa sebab-sebabnya :

MENGANGGAP HUKUM FARAID SUDAH ADA

Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi telah ditanamkan dalam minda mereka bahawa wasiat adalah untuk 1/3 daripada harta kepada bukan waris sahaja. Bagi waris-waris mereka mesti mengikut pembahagian ikut hukum faraid seolah-olah kita tidak berdaya merubah ketentuan tersebut. Maksud saya disini bukanlah menyuruh kita lari dari hukum faraid. Kita perlu mempelajari hukum faraid untuk kita tahu bagaimana kita hendak merancang harta pusaka.

Apabila kita mengetahui hukum faraid kita tahu siapakah akan dapat bahagian yang lebih dan siapakah kurang. Kemanakah harta kita akan pergi jika kita tidak mempunyai waris ? Sanggupkah kita melihat anak angkat yang kita pelihara dari kecil berputih mata kerana semua harta kita dibolot oleh saudara kita yang lain bagi sesiapa yang tiada anak, Inilah kemusykilan yang kita patut selesaikan.

Bukanlah faraid itu tidak adil tetapi kita yang tidak adil kerana mengabaikan masa depan orang yang anda sayangi tanpa berbuat apa-apa untuk mereka. Bayangkan jika anda mempunyai harta bernilai jutaan ringgit, estet-estet dalam negara dan di luar negara tetapi semuanya jatuh ke tangan orang yang tidak berjasa kepada anda ? kesian dia.. adilkah anda macam tu.



TAK MAMPU

Satu lagi masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat kita adalah tiada wang. Saya bukanlah bermaksud nak kata semua orang tetapi tidak kurang ramai juga yang tak berwang. Tidak punya wang ini membawa kepada dua andaian. Pertamanya, memang betul tiada wang dan yang keduanya, tidak memberi keutamaan terhadap perancangan harta.

Masalah yang pertama memang selalu dihadapi oleh kebanyakan orang kita kerana kita tiada langsung menyimpan wang. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan yang teruk lagi belanja melebihi pendapatan.

Apabila tiada langsung wang tapi ada harta, akan mengakibatkan harta mudah tergadai kepada orang lain yang pandai mengambil kesempatan, dengan membeli harta tersebut pada harga yang terlalu murah dibawah harga pasaran.

Bagi kategori yang kedua pula, mereka memberi keutamaan kepada perkara-perkara liburan dan keseronokan. Mereka boleh membeli set Hi Fi, ubahsuai kereta, tukar sport rim kereta, malahan ada yang mampu membeli TV plasma. “ Raya ni kita tukar TV plasma nak? Tanya kat isteri, isteri pun kata “ bagus juga bang, barulah berseri rumah hari raya nanti” suami dan isteri dua kali lima, sama-sama tak tahu nak jimat wang.”

TIADA PENGETAHUAN

Rata-rata masyarakat kita ini memang tidak tahu hal-hal yang berkaitan dangan harta pusaka, dahlah tak tahu malah enggan ambil tahu, tak nak pening kepala memikirkan pasal pembahagian harta pusaka. Jika ada yang mempunyai kesedaran sedikit dah tak tahu macam mana nak buat, bila merujuk kepada ketua kampong pula, ketua kampong pun tak tahu, nak pergi jumpa peguam takut nanti peguam caj mahal-mahal, maka terbantutlah hajat itu akhirnya nak sedapkan hati “ tak payah susah-susahlah nanti kita mati orang yang hidup buatlah!”

Begitulah sikap sebahagian masyarakat kita tak nak susah sikit sekarang, nak biarkan kesusahan di tanggung oleh orang lain. Jika anda berjumpa peguam pada peringkat awal, sudah tentu kosnya tak mahal, sebab masih mudah dan perkara tidak sulit, jika dah si mati dah meninggal lama, waris telah sampai kepada generasi ketiga, keempat, kelima dan ke atas, sudah tentu kos lebih mahal kerana kesukaran mengumpulkan maklumat kerana waris sudah bertambah, karenah waris juga tidak kurang memeningkan, jadi buatlah segera tanpa lengah lagi.


MENGANGGAP HARTA TIADA NILAI

Kadangkala kita tidak mengambil berat tentang harta pusaka yang ditinggalkan oleh datuk nenek kita atas sebab harta tersebut hutan belukar yang tiada hasil malahan dihuni oleh ‘sang belang’ dan sekutu-sekutunya. Kita tidak boleh ambil tak peduli tanah-tanah sebegini kerana siapa tahu ia akan dibangunkan suatu hari nanti. Tanah jika disimpan tidak akan susut nilai malah nilainya akan bertambah dari semasa ke semasa.

Teringat saya kisah yang diceritakan oleh sahabat saya tentang saudara mara mengabaikan tanah yang terletak di Baling, Kedah kemudian apabila pihak lebuhraya Plus telah mengambil tanah tersebut untuk dijadikan laluan maka barulah waris-waris tanah tersebut sibuk untuk menuntut pampasan yang dibayar oleh pihak lebuhraya tadi. Sebarang tuntutan pengambilan tanah tidak akan dibayar kepada waris-waris jika tiada surat kuasa diambil oleh pihak waris.

TAKUT HARTA JATUH DI TANGAN ORANG LAIN

Satu lagi penyakit sebahagian daripada masyarakat kita adalah takut harta jatuh ke tangan orang lain selain dari adik beradik kita sedangkan orang lain pun mempunyai hak.

Saya pernah di arahkan oleh seorang mak cik untuk memohon surat kuasa bagi tanah arwah ibunya. Tanah tersebut nilainya agak mahal kerana berada berdekatan dengan Bandar. Arwah Ibunya pada masa kematiannya meninggalkan seorang anak perempuan (iaitu mak cik tersebut) dan seorang adik lelaki. Maklumat yang diberikan oleh makcik itu kepada saya adalah beliau tak ada waris lain melainkan dirinya seorang diri. Setelah saya bertanyakan kepada mak cik tersebut dengan lebih lanjut siapakah lagi saudaranya yang ada, barulah diberitahu ada seorang bapa saudara yang masih hidup. Beliau dengan tegas menyatakan tanah tu mak makcik bagi kat makcik kenapa nak masukkan sekali nama bapa saudara makcik. Saya pun menenangkannya dengan mengatakan bahawa mak cik tak perlu risau walaupun permohonan surat kuasa ni saya masukkan nama bapa saudara mak cik sebab mengikut hukum faraid pakcik tersebut layak menerima harta pusaka nanti makcik minta persetujuan dia lah supaya serahkan tanah tu kepada mak cik semuanya sebab mak makcik dah kata begitu. Akhir sekali makcik tu berkata dia akan bagi salinan kad pengenalan pakciknya tu kepada saya. Tunggu punya tunggu tiada kad pengenalan pun diberikan kepada saya. Saya pun ingat dalam hati biarlah kita menceritakan perkara sebenar daripada memberi nasihat yang salah.

Beginilah sikap masyarakat kita yang sanggup membiarkan harta tersebut terbiar tanpa diselesaikan hanya kerana tidak ingin pihak lain mendapat harta mereka.

KECEWA DENGAN SIKAP SI MATI SEMASA HIDUP

Terdapat sesetengah dikalangan masyarakat kita melebihkan anak-anak tertentu, menyanjung anak-anak tertentu, merendah-rendahkan anak-anak tertentu. Ada ibu bapa yang terlampau menyanjung anak-anak yang belajar diluar negara, dicanangkan di serata kampung bahawa anaknya belajar di luar negara, anaknya seorang doktor, jurutera hebat di Kuala Lumpur, ahli korporat yang berjaya di Kuala Lumpur bagi anak yang kurang berjaya, yang bekerja di kampung tidak diambil kisah, asyik jumpa saja kena berleter.

Ini memberi kesan yang negatif terhadap perasaan anak-anak yang kurang berjaya ini dan menyebabkan mereka berdendam dengan abang-abang atau adik-adiknya yang berjaya, sebab itulah bila berlakunya kematian, pertelingakahan akan berlaku kerana yang berjaya juga enggan bertolak ansur ‘educatedlah katakan’ ingin merebut tanah ayah di kampung sedangkan mereka telahpun kaya raya! Jarang balik menjenguk keluarga di kampung. Nak balik setahun dua kali pun susah.

MENGHARAPKAN SAUDARA SULUNG MENYELESAIKAN

Kebanyakan kes-kes melibatkan harta pusaka biasanya waris tertua yang diberi kepercayaan untuk menyelesaikan masalah pusaka bagi pihak keluarga. Memang wajarlah begitu kerana dia anak sulung, dia makan garam dulu kan. Kadang-kadang yang makan garam dulu ni lah yang haprak sekali, suka mengambil kesempatan, belajar tidaklah setinggi mana pun, banyak menghabiskan masa di kedai kopi saja. Ianya amat bahaya jika adik beradik lain juga tidak pandai dan takut nak bersuara. Apa yang abang sulung buat kami setujulah. Inilah yang menyebabkan keputusan berat sebelah kerana dia mengambil bahagian yang lebih dari sepatutnya.

TAK NAK KELUAR DUIT

Inilah kepala segala masalah, mana ada kerja boleh jalan tanpa keluar duit, nak dapat duit kena keluar duit dulu, inipun satu investment juga, kuatkan iman pejamkan mata teruskan jangan berpatah balik. Ni nak merancang harta banyak pula yang difikirkan “duit tu kalau aku beli handphone yang ada TV kan cantik juga”. Kadang-kadang tuan-tuan dan puan-puan ada yang nak keluar seratus dua pun berkiralah walaupun harta yang bakal diterima nilainya puluhan ribu malah ada kalanya jutaan ringgit.

BERDENGKI

Penyakit hasad dengki ini sudah lumrah dalam masyarakat, kenapa jadi begini ? Kerana tak ada ilmu agama disamping tak ingat nak mati. Orang Islam hanya boleh berdengki dalam dua keadaan sahaja. Pertama, orang yang belajar ilmu dan mengajarkan kepada orang lain dan yang keduanya orang yang banyak membelanjakan harta untuk tujuan kebajikan. Ini tidak kita kalau boleh nak semua harta jatuh ke tangan kita sahaja dan berdengki kalau ada orang lain mendapat lebih daripada kita.

Comments