SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA PEWARISAN ?

Mengetahui siapakah yang layak mewarisi sesuatu harta dapat membantu kita dalam membuat perancangan pembahagian harta pada masa hadapan. Mungkin yang sudah layak menerima harta bukanlah menjadi persoalan tetapi mungkinkah kita ingin menyediakan peruntukan kepada sesiapa yang kita kasihi tetapi tidak termasuk di dalam golongan yang mewarisi.

Apakah sebab-sebab seseorang mendapat harta warisan

Keturunan
Pernikahan
Orang Yang memerdekakan hamba (“wala”).


1. Keturunan

Pewarisan melalui ikatan keturunan adalah sesuatu yang memang sudah kita maklum dan ianya menjadi sebab pewarisan yang paling kuat.

2. Pernikahan

Ikatan yang terjalin melalui pernikahan yang sah, seperti suami dan isteri sama ada telah terjadinya persetubuhan mewajibkan penerimaa harta pusaka.

Penceraian sebelum persetubuhan

Jika seorang lelaki bernikah dengan seorang perempuan tetapi sebelum menyetubuhinya telah bercerai maka harta lelaki tersebut tidak boleh diwarisi oleh perempuan tersebut sebaik sahaja talak dilafazkan.

Penceraian Selepas Persetubuhan

Jika seorang suami menceraikan isterinya yang telah disetubuhinya kemudian meninggal dunia sedangkan isterinya masih dalam iddah maka isterinya boleh mewarisi harta suaminya itu.

Jika tempoh iddah telah luput dan tidak dirujuk oleh suaminya sebelum kematiannya maka isterinya tersebut tidak berhak mewarisi harta bekas suaminya.

3. Orang Yang Memerdekakan Hamba

Jika kita lihat dalam konteks sekarang perhambaan sudah tidak wujud namun begitu jika berlaku maka tuan yang memerdekakan hamba tersebut jika selepas memerdekakan hamba tersebut, hamba tersebut meninggal dunia dan memiliki harta maka tuan yang memerdekakan hamba tersebut layak menerima harta pusaka hamba tersebut sekiranya hamba tersebut tidak mempunyai waris lain yang berhak.

Hadis Rasulullah

“Sesungguhnya wala’ itu bagi orang yang memerdekakan.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kenapa Wala’ (tuan kepada hamba) Menerima Harta ?

Wala adalah tuan kepada hamba yang dijaganya yang bertanggungjawab memberi makan, minum, pakaian dan kelengkapan hidup kepada hamba. Atas sebab tanggungjawab itu Islam memberi kelebihan kepada tuan hamba tersebut mewarisi hartanya disamping memberi galakan kepada tuan-tuan hamba agar memerdekakan hamba-hamba mereka.


SIAPAKAH YANG TIDAK LAYAK MEWARISI HARTA ?

1. Hamba

Hamba tidak layak mewarisi harta kerana hamba itu sendiri dipunyai oleh tuannya.

2. Membunuh

Seseorang yang membunuh ahli keluarganya tidak layak mewarisi harta orang yang dibunuhnya.

Hadis diriwayatkan oleh Daruqutni dari Ibnu Abbas r.a. Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a. dan Imam Ahmad dari Umar Bin Khattab bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Pembunuh tidak mendapat apa-apa”.

Kenapa pembunuh tidak mewarisi harta ?

Kalaulah pembunuhan tidak menghalang orang mewarisi harta ahli keluarganya, ia akan menyebabkan jenayah pembunuhan akan berleluasa bagi untuk mendapat harta.

Membunuh secara langsung : tidak layak menerima harta pusaka
Membunuh secara tak langsung : kanak-kanak, orang gila atau membunuh dengan hak seperti hakim memerintahkannya membunuh sebagai bentuk qisas

3. Perbezaan Agama

Orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang bukan Islam.

Hadis Usamah bin Zaid bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda “

“ Tidaklah orang Muslim mewarisi orang kafir dan tidaklah kafir mewarisi orang Muslim”

(Riwayat Muslim)


Hak Yang Berkaitan Dengan Harta Peninggalan Si Mati

Didalam harta si mati yang ditinggalkan sama ada dalam bentuk harta alih ataupun harta tak alih wajib ditunaikan beberapa hak sebelum harta tersebut boleh dibahagikan oleh waris-waris.

Apakah hak-hak yang perlu ditunaikan?

Biaya Pengurusan Jenazah
Membayar hutang
Menyelesaiakan wasiat
Membahagi harta

Biaya Pengurusan Jenazah

Kebanyakan kes yang kita lihat apabila berlaku kematian, waris-waris menjadi buntu kerana harta waris yang berbentuk kewangan tidak dapat digunakan seperti akaun bank dibekukan, kalau yang pakai kad ATM nombornya pula tak tahu, kalau tidak bolehlah ambil duit melalui ATM, insuran mungkin mengambil masa yang agak panjang. Dimana nak dapat wang segera untuk membiaya pengurusan jenazah ini ?

Anda perlu periksa adakah si mati ada mengambil takaful khairat kematian atau adakah si mati ada terlibat dengan pakatan surau atau masjid. Jika ada anda perlu memaklumkan kepada pihak-pihak ini untuk mendapatkan tunai segera bagi pengurusan jenazah si mati. Itu pun kalau si mati ada memberi sumbangan tetapi kalau si mati tidak pernah jejak ke surau atau masjid bagaimana boleh masuk dalam pakatan. Biasanya sesiapa yang terlibat dengan pakatan ini perlu menyumbang yuran tertentu yang akan dikumpulkan dan akan digunakan apabila berlaku kematian.

Sekiranya khairat kematian, insuran ataupun wang tunai tidak ada maka waris-warislah yang perlu menyumbang bagi menunaikan perkara yang wajib ini secara sederhana dan tidak perlu berlebih-lebihan.

Jika si mati seorang yang fakir, tidak mempunyai saudara-mara atau saudara-mara juga hidup susah kategori fakir juga maka pengurusannya hendaklah ditanggung oleh Baitul Mal. Jika Baitul Mal tidak ada maka ianya menjadi tanggungjawab orang-orang Islam yang kaya.

Pengurusan jenazah ini maksudnya membiaya kos-kos bagi perkara-perkara yang perlu seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan.

Membayar Hutang

Hutang wajib ditunaikan dengan apa cara sekalipun. Rasulullah SAW terlah memperingatkan kepada kita dalam hadisnya yang bermaksud :

“Jiwa seorang mukmin itu disangkutkan dengan hutangnya, sampai hutang itu dibayar”.
(Riwayat Ahmad, Ibnu Hajar & Tirmizi)

Kita biasanya menganggap bahawa hutang yang perlu dijelaskan dari harta si mati, hanyalah hutang piutang seperti hutang peribadi kepada seseorang, hutang bank seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta dan hutang pembelian barangan elekrik, perabot dan sebagainya. Seringkali kita lupa bahawa kita tertinggal hutang si mati kepada Allah.

Terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama yang mana patut dijelaskan terlebih dahulu sama ada hutang kepada Allah atau hutang sesama manusia. Hutang kepada Allah adalah seperti zakat, kaffarah, nazar dan fidyah (menggantikan pembayaran puasa dengan dengan beras bagi yang meninggalkan puasa wajib) manakala hutang sesama manusia ini adalah seperti hutang persendirian dari orang perseorangan, hutang institusi kewangan bagi pinjaman kenderaan dan rumah atau apa-apa badan yang meminjamkan wang seperti koperasi atau pertubuhan.

Menurut Mazhab Shafie hutang kepada Allah wajib didahulukan berbanding hutang sesama manusia manakala Mazhab Maliki dan Hanafi mendahulukan membayar hutang kepada manusia terlebih dahulu. Malahan Menurut Mazhab Hanafi membayar hutang kepada Allah tidak boleh mengambil dari harta pusaka si mati.

Wasiat

Masyarakat Islam secara majoritinya tidak membuat wasiat namun sejak akhir-akhir ini Amanah Raya dan beberapa syarikat wasiat telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan penulisan wasiat.

Pengalaman saya sebagai peguam, saya banyak membuat wasiat kepada bukan Islam berbanding orang Islam beberapa tahun yang lalu, namun sejak beberapa tahun mutahir ini (dalam masa 2 tahun) sudah nampak perubahan kepada orang Islam yang semakin ramai yang mempunyai kesedaran tampil untuk membuat wasiat dan hibah serta mendapat nasihat tentang perancangan harta.

Wasiat atau apa-apa peruntukan kewangan lain seperti hibah, pengisytiharan harta sepencarian dan sebagainya mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum baki harta tersebut boleh difaraidkan. Sekiranya tiada baki waris-waris janganlah mengeluh kerana sudah tiada harta untuk dibahagikan.

Pada masa sekarang ini dokumen wasiat, hibah atau harta sepencarian perlu mendapat pengesahan dari Mahkamah Syariah bagi menentusah kandungan dokumen berkenaan jika terdapat pertikaian daripada waris-waris.

Pembahagian Warisan

Akhir sekali selepas harta-harta si mati melalui tapisan-tapisan di atas, maka lebihannya baru boleh dibahagikan mengikut hukum faraid. Hukum faraid ada disebutkan di dalam Bab akan datang….

Comments

  1. assalamualaikum. boleh tak saya nak tanya pasal pelaksanaan wasiat selepas kematian ? act, saya kena buad kerja kursus stpm sem 2 .kalau tak busy,tolong respond ye .....please terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum
    Saya nak tnya, boleh tak seseorang yang diisyhtihar bankrap mewarisi harta?

    ReplyDelete

Post a Comment