Wanita Bersuami Dua – Rujuk Sah atau Tidak ?



Rujuk menurut istilahnya adalah seorang suami kembali menjalinkan ikatan perkahwinan selepas penceraiannya dalam masa iddah melainkan talak bain.


“Dan suami mereka lebih berhak merujuki mereka dalam waktu beriddah itu, jika mereka hendak berdamai kembali”.

Surah Al Baqarah – 228


Suami yang menceraikan isterinya boleh merujuk kepada isterinya dengan hasrat berbaik kembali.

Perkataan ‘Islah’ (kebaikan) ini penting bagi mengelak suami menyalahgunakan kuasa rujuk yang ada pada tangannya bagi menyusahkan isterinya sekiranya suami berniat mempermain-mainkan isterinya agar isterinya tidak dapat berkahwin dengan orang lain. Jika ini berlaku maka hukumnya haram.

Rujuk dibenarkan hanya bagi talak raj’i ?

Dari Ibnu Umar r.a. ketika ditanya oleh seseorang ia berkata : “Adapun engkau yang telah menceraikan (isteri) sekali atau dua kali maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh merujuki kembali.”

(Riwayat Muslim)

Perlukah isteri merelai rujukan suami ?

Tidak disyaratkan Rela menjadi sahnya rujuk tersebut.

Berkata pengarang Subulussalam :

“Sesungguhnya telah ijma ulama, bahawa suami mempunyai hak merujuk isterinya selama dalam talak raj’I dan selama masa iddah, dengan tidak memandang suka atau tidak sukanya si isteri. Begitu juga tidak dipandang rela atau tidak rela walinya. Tetapi harus diingat bahawa talak yang dijatuhkan suami itu ialah talak sesudah si isteri dicampurinya.

Adakah saksi bagi rujuk itu wajib?

Menurut Mazhab Shafii mengadakan saksi bagi rujuk adalah wajib bersandarkan kepada ayat berikut :


Apabila telah sampai idah mereka, rujukilah mereka menurut yang sebaik-baiknya atau biarkanlah mereka menurut yang sebaiknya-baiknya dan hendaklah kamu adakan 2 orang saksi yang adil dari golonganmu dan adakan saksi itu kerana Allah semata-mata.
(Surah At-Talak ayat 2)

Jika si suami telah merujuki isterinya secara sembunyi wajib suami memberitahunya, supaya isteri itu tidak dikahwini oleh orang lain.

Bolehkah rujuk tanpa persetujuan isteri ?


Menurut syarak rujuk tidak semestinya mendapat kebenaran bekas isteri.

Seorang suami yang mentalakkan isterinya dengan talak satu atau dua harus ‘rujuk’ kepada bekas isterinya tanpa persetujuan atau keizinan dari bekas isterinya dengan syarat isterinya masih dalam tempoh iddah kerana rujuk adalah hak suami. Ini bersandarkan kepada dalil :

Suami-suami mereka berjak mengambil kembali (rujuk) akan isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka, jika suami bertujuan hendak merujuk dengan baik.

Al Baqarah : 228

Bolehkah merujuk dengan perbuatan ?

Perbuatan seperti mengadakan hubungan kelami atau melakukan perkara-perkara yang mendatangkan keinginan mengadakan hubungan kelamin.

Menurut Mazhab Shafii tidak sah rujuk dengan perbuatan sahaja. Rujuk mesti dilakukan secara jelas iaitu ucapan seperti “ Aku merujuk kamu” atau seumpamanya kerana pernikahan dahulunya diikat dengan ucapan.

Apabila ikatan telah terbuka maka ianya hendaklah diikat kembali dengan ucapan untuk merujuk kembali.

Bagi mazhab-mazhab yang lain merujuk dengan perbuatan diharuskan seperti mengadakan hubungan kelamin dengan bekas isterinya atau berpeluk cium.

Menurut Imam Hanafi, apabila bekas suami berkhalwat dengan bekas isterinya, maka bekas suami itu telah dihukumkan rujuk dengan bekas isterinya.



Ulasan Isu Semasa

Dalam kes wanita bersuami 2 ini Mahkamah perlu memfarakkan (membatalkan) perkahwinan dengan suami kedua itu kerana perlu mendengar keterangan dari pihak-pihak yang terbabit.

Mahkamah perlu memutuskan bahawa adakah rujuk yang dikatakan oleh suami pertama itu sah ataupun tidak. Mahkamah perlu melihat apakah rukun-rukun ruju itu wujud atau pun tidak seperti lafaz rujuk dihadapan 2 orang saksi atau jika ada rujuk sama ada waktu rujuk itu dilafazkan tempoh iddah sudah luput ataupun tidak. Perkara-perkara ini perlu diselidiki berdasarkan fakta kes sebelum sebarang keputusan dibuat. Oleh yang demikian kita tunggu dan lihat.

*Talak Raj’i – talak yang boleh dirujuk.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Rujukan :

Ustaz Idris Ahmad -Fiqh Shafii Jilid 2 2002.
Dr Mustofa Al-Khin & 2 others – Alfiqh Minhaji Jilid 4 2005
Prof Ahmad Ibrahim – Undang-undang Keluarga Islam MLJ 1999.

Comments